Bagaimana menerima pengampunan dosa daripada Tuhan?
Jawapan: Kisah Para Rasul 13:38 memaklumkan, “Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua.”
Apakah pengampunan dosa dan mengapa saya memerlukannya?
Perkataan “ampun” bermakna melupakan segala yang lepas, memaafkan, membatalkan hutang. Apabila kita melakukan kesalahan ke atas orang, kita meminta maaf supaya hubungan dengannya dapat dipulihkan. Pengampunan dosa bukan diberikan atas sebab orang itu berhak untuk dimaafkan. Tiada sesiapa pun berhak untuk dimaafkan. Pengampunan dosa ialah satu tindakan kasih sayang, belas kasihan dan rahmat. Pengampunan ialah satu keputusan untuk tidak berdendam terhadap seseorang, tanpa mengambil kira segala yang telah dilakukan terhadap kamu.
Kitab Injil memberitahu kita bahawa kita semua memerlukan pengampunan dosa daripada Tuhan. Kita semua telah berdosa. Pengkhutbah 7:20 menyatakan, “Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan!” 1 Yohanes 1:8 menyatakan, “Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri dan Allah tidak ada di dalam kita.” Semua dosa adalah perbuatan menentang Tuhan (Mazmur 51:4). Akibatnya, kita amat memerlukan pengampunan Tuhan. Jika dosa kita tidak diampuni, kita akan menderita selama-lamanya disebabkan berdosa (Matius 25:46; Yohanes 3:36).
Pengampunan – Bagaimana saya mendapatnya?
Bersyukurlah, Tuhan yang penyayang dan pemurah – bersedia untuk mengampuni dosa kita! 2 Petrus 3:9 menyatakan, “Tuhan tidak terlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.” Tuhan berhasrat memaafkan kita, oleh itu Dia menyediakan pengampunan untuk kita.
Hukuman yang adil ke atas dosa kita ialah kematian. Bahagian separuh pertama Roma 6:23 menyatakan, “Kematian adalah upah dosa..” Kematian abadi adalah upah yang kita terima akibat daripada dosa kita. Tuhan, di dalam rancangan sempurna-Nya, menjadi seorang manusia – Kristus Yesus (Yohanes 1:1,14). Yesus mati di atas salib, memikul hukuman mati bagi pihak kita. 2 Korintus 5 :21 mengajar kita, “Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus.” Yesus mati di atas salib, memikul hukuman mati kita! Sebagai Tuhan, kematian Yesus memberikan pengampunan dosa bagi seluruh dunia. 1 Yohanes 2:2 memaklumkan, “Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang.” Yesus bangkit daripada kematian, mengumumkan kemenangannya mengatasi dosa dan kematian (1 Korintus 15:1-28). Puji Tuhan, melalui kematian dan kebangkitan Kristus Yesus, bahagian separuh kedua Roma 6:23 adalah benar, “…tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.”
Adakah kamu inginkan dosa kamu diampuni? Adakah kamu sentiasa mempunyai rasa bersalah yang tidak dapat diatasi? Pengampunan dosa tersedia jika kamu percaya kepada Kristus Yesus sebagai penyelamat kamu. Efesus 1:7 menyatakan, “Hal ini demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah.” Yesus telah membayar hutang kita, supaya kita dapat diampuni. Apa yang kamu perlu buat ialah meminta Tuhan untuk mengampuni kamu melalui Yesus, percaya Yesus mati kerana hendak menebus dosa kamu – maka Tuhan pasti akan mengampuni kamu! Yohanes 3:16-17 mengandungi berita yang mengagumkan ini, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.”
Pengampunan – begitu senang sahaja?
Ya, begitu senang! Kamu tidak dapat membeli pengampunan daripada Tuhan. Kamu tidak dapat membayar pengampunan daripada Tuhan. Kamu hanya boleh menerimanya, dengan iman, melalui rahmat dan belas kasihan Tuhan. Jika kamu hendak menerima Yesus Kristus sebagai Penyelamat kamu dan menerima pengampunan daripada Tuhan, maka berdoalah begini. Melafazkan doa ini atau doa-doa lain tidak dapat menyelamatkan kamu. Hanya kepercayaan kepada Yesus Kristus yang boleh memberikan pengampunan dosa. Doa hanya satu cara untuk menunjukkan kepada Tuhan bahawa kamu percaya kepada-Nya dan berterima kasih kepada Tuhan kerana menyediakan pengampunan dosa. "Tuhan, saya mengaku bahawa saya sudah berdosa terhadap kamu dan patut dihukum. Tetapi Yesus Kristus telah menggantikan saya untuk menerima hukuman itu supaya saya dapat diampuni melalui kepercayaan ke atas Kristus. Saya akan meninggalkan dosa saya dan percaya kepada Tuhan untuk mendapat penyelamatan. Terima kasih Tuhan kerana rahmat dan pengampunan kamu yang mengagumkan itu! Amen!"
No comments:
Post a Comment